PENGENALAN KOMPLEKS AL SA'ADAH
Pengurusan Saudara Baru di Negeri Sembilan menyaksikan era baru apabila Kompleks Al-Saadah (KS) dengan reka bentuk dan seni bina cina diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China didirikan dengan peruntukan Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (JAWHAR) sebanyak RM 4,500,000.00 dan tambahan sebanyak RM 3,266,269.70 daripada peruntukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
KS atau lebih dikenali sebagai Pusat kegiatan Saudara Baru Negeri Sembilah telah beroperasi sejak Mac 2011 yang lalu di kawasan tanah wakaf berkeluasan 1.78 ekar.
Pembinaan KS mula dibina pada awal 2008 dan siap sepenuhnya pada 2011. Bangunan tersergam indah ini menyediakan kemudahan - kemudahan pengajaran dan pembelajaran saudara baru di Negeri Sembilan selain daripada menjadi markas dengan fokus untuk menguruselia keperluan-keperluan saudara baru di Negeri Sembilan.
Pengurusan Kompleks ini turut melibatkan Badan-Badan Dakwah Bukan Kerajaan seperti Persatuan Cina Muslim Cawangan Negeri Sembilan (MACMA) dan Muslim Revert Association (MRA) yang masing-masing mempunyai pejabat pentadbiran disini turut mengambil bahagian yang aktif dalam pengurusan saudara baru.
Mubaligh-mubaligh dan imam keturunan cina turut mengimarahkan lagi aktiviti dakwah terutama untuk memenuhi keperluan saudara baru keturunan cina.
Kehadiran mereka adalah nilai tambah dakwah bagi mencetuskan kefahaman kepada masyarakat cina terutamanya bahawa Islam adalah agama untuk umat manusia seluruhnya.
